Ada soalan tentang kami? Boleh hubungi kami secara terus



    FAQ/SOALAN LAZIM

    APA ITU ASRAMA DARUL FALAH PERKIM?
    • Asrama Darul Falah PERKIM atau singkatannya ASDAF merupakan sebuah institusi pendidikan yang berasaskan asrama yang menempatkan anak-anak Orang Asli sekitar semenanjung Malaysia.
    BILAKAH ASDAF DITUBUHKAN DAN DI MANAKAH LOKASI ASDAF?
    ASDAF ditubuhkan pada April tahun 1995 dan beroperasi di No. 10, Changkat Persekutuan, Bukit Persekutuan, 50480 Kuala Lumpur. Ini adalah sebuah rumah kerajaan di atas tanah seluas 1.5 ekar yang disewa dari Bahagian Pengurusan Hartanah di Jabatan Perdana Menteri.
    APAKAH MATLAMAT PENUBUHAN ASDAF?
    Matlamat penubuhan ASDAF adalah untuk mendidik dan memberi pengetahuan agama Islam kepada anak-anak Orang Asli bagi menjadikan mereka orang-orang Muslim, Mukmin dan Muttaqin. Selain itu, memberikan anak-anak Orang Asli ini pelajaran akademik yang baik bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi (Universiti).
    SIAPAKAH PEMILIK ASDAF?
    ASDAF adalah milik Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Cawangan ASDAF (PERKIM Cawangan ASDAF) iaitu satu daripada beberapa buah PERKIM Cawangan dalam PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
    BAGAIMANA PEMBIAYAAN OPERASI ASDAF?
    Segala perbelanjaan dan kos pengoperasian ASDAF adalah dari derma Syarikat Korporat, Derma Persendirian, Zakat, Fidyah dan Wakalah serta bantuan dari agensi berkanun seperti Majlis Agama Islam Negeri yang mana setiap pelajar datang dari negeri tersebut.
    APAKAH STATUS PENDIDIKAN PELAJAR-PELAJAR ASDAF?
    Pelajar-pelajar yang terpilih untuk masuk ke ASDAF akan menerima pendidikan akademik di sekolah harian arus perdana. Pelajar-pelajar akan ditempatkan di beberapa buah sekolah kerajaan seperti SMK Bangsar, SMK (P) Methodist Kuala Lumpur dan SMK Vivekananda.
    ADAKAH ASDAF MENERIMA PENDIDIKAN AGAMA ISLAM?
    ASDAF bukanlah institusi pondok atau pusat pengajian tahfiz namun ASDAF tetap memberikan pengajian agama secara teratur dan mengikut silibus kafa wilayah persekutuan. Pelajar-pelajar tetap akan menghafal Al-Quran namun sekadar juzuk 30 dan surah-surah pilihan serta diajar untuk menjadi imam dan bilal.
    APAKAH KEMUDAHAN YANG DITERIMA OLEH PELAJAR ASDAF?
    Apabila seseorang pelajar diterima secara sah dan rasmi, ASDAF akan menanggung perbelanjaan pelajar-pelajar tersebut dari segi penginapan, makan, minum, pembelian pakaian sekolah, wang saku harian, kelas pengajian agama yang insentif, kelas akademik percuma bagi peperiksaan awam, yuran sekolah dan pembelian baju raya serta pakaian yang dirasakan perlu.
    APAKAH AKTIVITI TAMBAHAN PELAJAR-PELAJAR ASDAF?
    • Solat secara berjemaah
    • Tasmik bacaan Al-Quran
    • Kelas Pengajian Agama
    • Kelas akademik bagi pelajar yang mnghadapi peperiksaan awam
    • Aktiviti luar asrama
    • Menerima undangan atau jemputan syarikat atau pihak persendirian untuk bacaan yasin, doa selamat dan tahlil • Program sahsiah diri
    • Program berkala bersama Universiti rakan strategic ASDAF
    dan lain-lain.
    APAKAH KRITERIA UNTUK MASUK KE ASDAF?
    Kriteria utama yang telah ditetapkan oleh Ahli Jawatankuasa PERKIM Cawangan ASDAF dan juga pihak Pengurusan Asrama Darul Falah PERKIM adalah pemohon haruslah dari kalangan Masyarakat Orang Asli yang berumur lingkungan 13 tahun sehingga 17 tahun sahaja.
    APAKAH SYARAT LAIN UNTUK MASUK KE ASDAF?
    Pemohon mestilah wajib menguasai dengan cemerlang Membaca, Menulis dan Mengira (3M) dan boleh mengenal huruf atau boleh membaca Al-Quran.
    ADAKAH PELAJAR SELAIN ORANG ASLI BOLEH MEMOHON MASUK KE ASDAF?
    Tidak
    ADAKAH PELAJAR ORANG ASLI BUKAN ISLAM BOLEH MEMOHON MASUK KE ASDAF?
    Boleh
    APA YANG PERLU DILAKUKAN SELEPAS MENGISI BORANG PERMOHONAN?
    Borang permohonan hendaklah dihantar ke pihak ASDAF melalui cara kiriman pos, email atau hantar secara terus ke pejabat ASDAF.
    ADAKAH PELAJAR BERUMUR BAWAH 13 TAHUN BOLEH MEMOHON?
    Tidak
    ADAKAH PELAJAR AKAN KERAP BALIK KE KAMPUNG?
    Pelajar akan balik pada cuti penggal persekolahan serta cuti raya aidilfitri sahaja.
    ADAKAH IBU BAPA DIBENARKAN MELAWAT PELAJAR?
    Ibu bapa dibenarkan melawat anak pada waktu hujung minggu sahaja.
    ADAKAH KENDERAAN DISEDIAKAN UNTUK PULANG KE KAMPUNG?
    Dengan kerjasama pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), pelajar-pelajar yang kampung halamannya terletak dari luar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor akan disediakan pengangkutan untuk balik. Namun bagi pelajar dari negeri Selangor tidak disediakan pengangkutan dan ibu bapa perlu menghantar dan mengambil anak mereka sendiri.
    ADAKAH PELAJAR DIBENARKAN BAWA TELEFON KE ASRAMA?
    Ya, dibenarkan bawa ke asrama tetapi akan dipegang dan disimpan oleh pihak pengurusan.
    BILAKAH PELAJAR AKAN MENDAPATKAN SEMULA TELEFON MEREKA?
    Pelajar akan diberikan telefon pada waktu tertentu seperti menelefon keluarga, kerja sekolah yang dihantar melalui aplikasi whatsapp, keluar "outing" dan juga ketika pulang untuk cuti penggal persekolahan.
    BERAPA KALI "OUTING" YANG AKAN DIBERIKAN?
    "Outing" akan diberikan kepada pelajar setiap 2 bulan bergantung pada aktiviti mingguan pelajar pada bulan tersebut.
    ADAKAH PELAJAR AKAN TERLIBAT DENGAN SEMUA AKTIVIT?
    Ya, semua pelajar akan terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan baik di dalam asrama mahupun di luar asrama dan dipantau oleh warden yang bertugas.
    ADAKAH IBU BAPA PERLU MENYEDIAKAN SEGALA KELENGKAPAN PELAJAR KETIKA MENDAFTAR MASUK KE ASDAF?
    Ibu bapa boleh menyediakan kelengkapan seperti baju aktiviti seharian pelajar dan sebagainya. Jika ibu bapa itu tidak mampu untuk menyediakan kelengkapan sekolah, ASDAF akan menanggung penuh pembelian barang persekolahan.
    ADAKAH PELAJAR-PELAJAR MENERIMA BANTUAN DARI KERAJAAN/BADAN BERKANUN?
    Pelajar-pelajar ASDAF kebiasaannya akan menrima biasiswa dari pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan juga Biasiswa Kecil Persekutuan. Pelajar-pelajar akan menerima bantuan ini setiap tahun dan akan dikreditkan ke akaun persendirian pelajar.
    ADAKAH PELAJAR DIBENARKAN UNTUK BERTUKAR SEKOLAH?
    Ya dibenarkan tetapi dengan alasan dan bukti yang kukuh kenapa pertukaran sekolah perlu berlaku.
    JIKA PELAJAR KELUAR ASRAMA ATAU MEMBUAT PERTUKARAN SEKOLAH TANPA PERBINCANGAN DENGAN PENGURUSAN ASDAF, APA TINDAKAN YANG DIKENAKAN?
    Ibu bapa akan membayar ganti rugi atau pampasan dengan jumlah yang telah dibelanjakan oleh ASDAF untuk pelajar tersebut bermula dari hari pendaftaran masuk ke asrama sehingga hari keluarnya pelajar tersebut.
    ADAKAH ASDAF BOLEH MENGAMBIL TINDAKAN DISIPLIN PADA MURID?
    Ya ASDAF boleh mengambil tindakan kepada pelajar yang keluar asrama tanpa perbincangan. Sebelum masuk ke asrama ibu bapa diberikan satu perjanjian dan akuan untuk menuruti segala terma dan syarat yang ditetapkan oleh ASDAF.