Projek yang diberi nama "Pemerkasaan Ilmu dan Kemahiran Literasi Digital Kepada Anak-anak Orang Asli Melalui Kaedah Pembelajaran berasaskan Projek STEM" ini dianjurkan oleh pihak Universiti Teknologi Malaysia KL yang juga merupakan rakan kolaborasi bersama Khayrin Faqir Resources (KFR). Projek ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan kualiti pendidikan anak-anak orang asli dengan memberikan penekanan kepada ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta kemahiran literasi digital. Program ini akan dijalankan dan dipantau selama setahun bagi meningkatkan kemahiran dan ilmu mereka dalam penggunaan aplikasi dan teknologi digital terkini dalam pembelajaran dan projek berkaitan dengan STEM.
Majlis penutup projek DigiSTEM bersama UTM ini telah berlangsung pada 12 Oktober 2024. Pelajar-pelajar Asrama Darul Falah PERKIM (ASDAF) telah melaksanakan projek akhir mereka dengan jayanya iaitu pembentangan Projek Hidroponik secara live di Facebook Asdaf PERKIM. Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak UTM, CMN Digylearn Sdn Bhd dan Khayrin Faqir Resources (KFR) serta pihak lain yang terlibat secara tidak langsung dalam menjayakan projek ini. Program ini bukan sahaja memberikan ilmu dan kemahiran baharu kepada para pelajar tetapi juga menimbulkan minat yang mendalam terhadap STEM.